Tuesday, May 18, 2010

Coretan Dhuha

Hari-hari yamg dilalui oleh Dhuha terasa semakin bererti. Ditemani sahabat-sahabatnya. Masing-masing cuba menghidupkan suasana. Saling bertukar pandangan dan nasihat. Setiap seorang menjadi pemberi dan penerima seusai menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Dhuha terkagum sendiri, apabila mendengar kata-kata yang diberikan oleh sahabatnya, Nishi. Tidak disangka Nishi yang kelihatan sedikit 'otai' itu, mempunyai ilmu yang bukan sedikit pada hematnya. Dalam diam, Dhuha melafazkan rasa syukur.


***************************


Sayu. Itu yang dirasai oleh Dhuha apabila terbangun dari tidur keesokan harinya. Kekesalannya bukan sedikit. Tetapi, berganda-ganda. Dia tidak dipilih untuk bersama-sama Ahli Baitnya menghadap Sang Pencipta di dua pertiga malam. Sedangkan, dia juga ahli baitnya, begitu ingin menjadi pencinta Sang Pencipta. Istighfar. Digagahkan diri untuk bangun menunaikan solat subuh berjemaah. Diimamkan oleh wardah,masing-masing membawa hati menghadapNya. Kesayuannya bertambah apabila, Wardah membaca surah Al Muzammil di rakaat yang kedua. Sungguh, misi mereka adalah untuk mencari redhaNya.
Kelas yang akan bermula pada jam 9 pagi telah menenggelamkan seluruh ahli BM dalam kesibukan. Masing-masing membawa haluan sendiri. Dalam diam, Dhuha mula memuhasabah dirinya. Dhuha mengimbau kembali kenangan semasa berada di dalam halaqah BLC. Teringat kata-kata seorang sahabat. 'sesiapa yang tidak berkesempatan melakukan sesuatu amalan kebaikan, gantikan dengan amalan-amalan yang lain,dan lipat gandakan amalan tersebut. Sebagai ganti ketidak berpeluangan untuk melakukan amalan tersebut.'
Mengambil kata-kata tersebut sebagai pengubat kesayuan, Dhuha telah bertekad. Moga-moga, dia berkesempatan untuk bersama-sama ahli baitnya, dalam apa jua keadaan sekalipun.


*****************************


Kelas yang dilalui pada hari tersebut, terasa begitu meriah. Meriah dengan gelak tawa rakan-rakannya. Ketawa yang berpanjangan sepanjang kelas menyebabkan ketenangan Dhuha sedikit terusik. Entah mengapa, dia sendiri tidak mengerti. Perjalanan pulang ke rumah, hanya ditemani oleh Wardah dan Nishi. Jalan pintas diambil. Bukit bukau ditempuhi. Berpanas disiang hari amat melelahkan. 'Jom jihad. Kitakan Mujahidah'.Kata-kata sahabat menaikkan semangatnya untuk terus berjuang. Kerana, dia percaya, dan dia juga mengerti bahawa setiap langkah untuk menuntut ilmu, akan membuahkan 'buah-buah pahala'. InsyaAllah.


Melalui hari-hari di BM mengundang rasa syukur yang tidak terhingga kepada diri Dhuha. Bersama Mujaheedah,Wardah,Nishi, Haura', Laila,Ummu Syahid dan juga 5 orang sahabat dari Pendidikan Al-Quran As-sunnah, Dhuha belajar tentang erti kehidupan. Tentang tujuan penghidupan manusia.

'Dan tidaklah Aku menciptakan manusia dan jin, melainkan untuk beribadah kepadaKu'.


****************************


'Ya Allah, tautkanlah hati-hati kami dalam mencari redhaMU. Ya Allah, hati-hati ini telah bersatu, berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu bersatu memikul beban dakwahMU, Hati ini telah mengikat setia untuk mendaulat untuk mendokong syariatMu, maka Ya Allah, eratkanlah ikatan yang ada. Kekalkan kemesraan yang ada, tunjukkanlah jalan yang benar, tunjukkalah dengan cahayaMu, tiada malap terangi alam Mu,hidup suburkanlah dengan ma'firahMu, tapi jika ingin mematikannya, matikanlah sebagai syuhada'..dalam perjuangan menegakkan agama yang Mulia.





0 comments:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP